Friday, December 7, 2012

berfesyen mengikut syariat

Berfesyen hendaklah mengikut syariat


Sabda Nabi saw : ” Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak” (Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr dan dinilai sahih oleh al-Albani).

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa antara tujuan Nabi saw diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Penyempurnaan akhlak ini adalah melalui contoh dan teladan mulia yang ditunjukkan oleh Baginda kepada umatnya atau disebut sebagai qudwah hasanah.
Dalam hal ini Allah swt telah berfirman :
“Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulallah itu peribadi yang mulia”. (al-Ahzab:21).

Antara akhlak-akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulallah saw adalah dengan menjaga penampilan diri Baginda di hadapan khalayak ramai. Hal ini termasuklah bagaimana ‘fesyen baginda’ ketika berpakaian.



Adakah salah untuk kita berfesyen? 
Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya untuk mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori kecantikan. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-hambaNya yang menjaga keterampilan diri dan kecantikan. Malah Allah swt menyukai sesuatu perkara yang cantik dan indah.

Daripada Abdullah Ibnu Masud ra beliau mendengar Rasulallah saw bersabda:

“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun seberat zarah”. 

Maka telah berkata seorang lelaki kepada Baginda:”Sesungguhnya seseorang individu itu suka jika pakaiannya baik dan kasutnya juga baik”.

Balas Baginda saw :”Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong meleyapkan kebenaran dan merupakan kehinaan kepada manusia”. (Riwayat Imam Muslim).
Daripada hadith ini jelas menunjukkan bahawa Rasulallah saw tidak melarang seseorang manusia itu untuk memperagakan fesyen malah Baginda menerangkan bahawa Allah itu sifatNya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulallah saw melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong kepada masyarakat sekelilingnya. Walaupun kita diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh memakai apa sahaja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tata susila. Sesungguhnya Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi seseorang muslim mahupun muslimah dalam berpakaian.

Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah: 

1) Memastikan pakaian tersebut menutup aurat.
Apakah itu aurat? Aurat berasal daripada perkataan arab yang bermaksud aib atau kekurangan pada sesuatu benda. Apabila menyebut mengenai aurat dalam berpakaian ialah kawasan anggota yang perlu dijaga dan ditutup oleh setiap orang Islam daripada dilihat oleh orang lain. Tujuan utama diwajibkan menutup aurat ke atas umat Islam adalah semata-mata untuk memelihara dirinya dan orang lain daripada perkara-perkara buruk yang menjerumuskan mereka ke dalam lembah dosa. Aurat bagi seseorang lelaki adalah di antara kawasan pusat dan lututnya. Manakala bagi seseorang wanita pula auratnya ketika bersama dengan bukan mahram adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua pergelangan tangannya.

2) Tidak memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan si pemakai secara jelas.
Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian yang tidak ketat yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai terutamanya kepada kaum wanita. Dalam hal ini Nabi SAW telah menyatakan sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya bahawa antara golongan yang akan diazab oleh Allah dalam api neraka adalah golongan perempuan yang disebut ‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita-wanita yang memakai pakaian dengan mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya. Salah seorang ulama’ terkenal iaitu Sheikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin ketika mengulas hadith ini beliau menyatakan bahawa yang dimaksudkan golongan ini antaranya perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian yang ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian daripada tubuh badannya yang telah dilarang oleh syariat Islam. Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan untuk memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan hukumnya adalah makruh sepertimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’.

3) Tidak memakai pakaian atau aksesori yang menyerupai ciri-ciri budaya orang bukan Islam.
Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada terikut-ikut dengan budaya negatif masyarakat bukan Islam. Hal ini termasuklah ketika berpakaian dan memperagakan sesuatu fesyen. Nabi saw telah melarang kita daripada terikut-ikut dengan budaya luar yang kadang kala mampu menggugat akidah dan akhlak umat Islam terutamanya di kalangan para pemuda-pemudi.
Dalam sebuah hadith Nabi saw pernah bersabda: ” Sesiapa yang terikut-ikut dengan gaya hidup sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan tersebut” (Direkodkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi). 
Hadith ini melarang umat Islam daripada terikut-ikut dengan budaya luar yang bersifat negatif termasuklah dalam berpakaian. Antara ikutan negatif yang berlaku seperti memakai pakaian yang mempunyai gambar salib, gambar-gambar yang tidak menutup aurat, bertindik pada anggota badan tertentu bagi kaum lelaki, melukis tatu dan lain-lain. Inilah realiti umat Islam akhir zaman sepertimana yang telah dinyatakan oleh Nabi saw :
“Sesungguhnya kamu akan mengikuti gaya hidup masyarakat selepas kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak sekali pun nescaya kamu akan memasukinya”. (Hadith muttafaq alaih). 

4) Fesyen yang bertentangan dengan jantina si pemakai.
Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada menyerupai golongan yang berlainan jantina. Hal ini termasuklah dalam memperagakan fesyen. Hukum lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki adalah haram kerana ianya berlawanan dengan fitrah asal penciptaan seseorang manusia sama ada dalam tingkah laku dan juga pemakaian. Contohnya kaum lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian yang menunjukkan ciri-ciri kaum wanita seperti memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera. Begitulah juga mereka ditegah daripada memperagakan tubuh badan mereka dengan aksesori wanita seperti rantai emas, pewarna bibir, pewarna kuku dan sebagainya.

Nabi saw telah bersabda: “Sesungguhnya Allah swt melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki”. (Direkodkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan Ahmad). 

5) Mengelakkan daripada fesyen-fesyen yang keterlaluan daripada adat kebiasaan masyarakat setempat.
Nabi saw menganjurkan kita supaya bersederhana dalam segala perkara termasuklah ketika memperagakan sesuatu fesyen. Kita perlu mengambil berat dalam memilih sesuatu fesyen yang ingin diketengahkan. Antara larangan Nabi saw dalam berpakaian ialah memakai pakaian yang disebut sebagai pakaian ‘syuhrah’ iaitu pakaian yang keterlaluan bentuk dan potongannya berbanding pakaian-pakaian kebiasaan. Hal ini adalah untuk mengelakkan daripada timbulnya perasaan sombong di dalam jiwa si pemakai.

Nabi saw telah bersabda: “Sesiapa yang memakai pakaian ‘syuhrah’ di dunia maka Allah swt akan memakaikannya dengan pakaian yang hina pada hari akhirat”. (Direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah). 

Kesimpulannya Islam tidak melarang seseorang itu untuk berfesyen namun perlulah mengikut sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan sederhana. Persoalan penting juga adalah bagaimanakah niat kita ketika berfesyen? Dan kita sewajibnya menghiaskan fesyen kita yang diharuskan syarak itu tadi dengan penuh rasa ketaqwaan sepertimana firman Allah swt : “Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik”.
dipetik dari blog imam muda asyraf


untuk muslimah, silalah ke fanpage saya FLUFFYSTUFF insyaAllah banyak tudung yang memenuhi syariat yang dijual dengan harga yang berpatutan. 

thank you for reading! 

1 comment: